Thursday, January 6, 2011

~life is short~

Berapa umur kamu?..Jika soalan ini ditanya, ada yang jujur memberi jawapan. Tak kurang  juga yang berdalih, walau sudah tua, masih lagi ingin terasa muda. Tak kira apa jua jawapan kita, sama ada aku baru 20 tahun atau aku sudah 20 tahun, hakikatnya hanya 1, kematian akan tetap tiba mengikut ketetapan Yang Maha Esa..


Hidup ini terlalu singkat..terlalu sekejap untuk hanya bersuka-ria dan bergelak ketawa. Ada yang berkata, hidup hanya sekali,enjoy lah sepenuh hati. Tapi kita seringkali lupa, kematian itu pasti, dan akhirat itu pasti akan menjadi realiti.

Aku boleh berkata, umurku baru awal  20-an, masih banyak masa untuk aku bertaubat. Aku masih muda, mengapa perlu aku melakukan amalan seolah-olah esok sudah tiada. Aku ini remaja, biarlah aku dengan rakan pengajiannku, rutin kuliahku, teman pacaranku, dan hiburan di sekelilingku.

Aduh..egonya aku terhadap Pencipta kerana pernah beranggapan begitu. Ternyata aku silap.  Alhamdulillah, Allah kurniakan aku hidayah , hati yang sudah lama gersang, seperti mendapat nafas baru.Masih  belum lagi subur, tapi sudah terasa damai di situ. Tidak dibiarkan aku selama-lamanya hanyut.



Aku mula sedar..Kematian itu tak mengenal usia, tak kira siapa, tak diberitahu masa. Lantas, siapa aku untuk berkata, aku masih punya banyak masa untuk bertaubat dan beramal..
Sia-sialah kehidupan aku di dunia, jika aku pulang ke negeri abadi tanpa bekalan..Bagaimana mungkin aku ingin bahagia di sana, jika hanya bebanan dosa yang aku bawa..Syurga idaman hanya tinggal impian, bidadari syurga tak kan menjadi kenyataan, jika aku sudah derita tatkala dinilai timbangan mizan.

Oh Allah..takutnya aku mengenangkan  azab kubur yang Kau sediakan pada hamba yang derhaka..gerunnya aku memikirkan suasana di Mahsyar kelak, betapa cemasnya lautan manusia ketika itu.. Menggigil aku membayangkan pergerakan aku ketika melalui titian sirat-Mu..berlarikah aku, berjalankah aku..atau aku hanya mampu merangkak?..

Titian itu perlu aku lalui…jika aku berjaya,bahagialah aku..jika aku gagal, deritalah aku..cabarannya bukan sedikit..betapa tajam titian itu..betapa kecil laluan itu..betapa gerun mendengar lautan api yang bergelak..
Aku tahu, hanya dengan amalanku dan rahmatMu, aku akan terselamat..Tapi aku masih leka..sering kali alpa dalam melaksanakan ketaatan.


Bukan hak aku untuk mengatakan aku tidak mendapat hidayah daripadaMu. Ternyata bohong jika aku beralasan begitu..
Sudah banyak peringatan yang Kau beri.. dalam pelbagai keadaan Kau mengingatkan aku.

Bukannya aku tak berpeluang mengikuti usrah dan majlis-majlis agama untuk aku tambahkan pengetahuan agamaku, tapi aku yang sering memberi alasan
Bukannya tiada rakan-rakan sekuliahku yang baik akhlak dan agamanya, tapi aku saja yang mengelak.
Bukannya aku tak tahu yang mana halal yang mana haram, tapi aku saja membutakan mata memekakkan telinga.
Bukannya aku tak tahu syurga itu untuk hambaMu yang soleh, dan neraka itu untuk mereka yang ingkar..


Aku tahu semua itu ya Allah. Aku tahu, tapi aku masih ingkar..lantas, apa alasanku nanti untuk menolak azab kerasMu? Apa hujahku untuk aku masih tetap mendapatkan keampunanMu?..



Moga detik ini,tatkala hati aku ini disapa hidayahMu, menjadi pemangkin untuk aku berusaha menjadi hambaMu yang soleh.  Allah, aku memohon,agar dipanjangkan usiaku, agar aku sempat beramal. Moga-moga benih-benih penyesalan ini akan subur dalam hati ini..moga-moga rayuan taubatku akan berpanjangan..Astaghfirullahal’azim..

1 comment: